SEKALI pandang suasana di luar kediaman Ramli Abu Itam tidak banyak beza jika dibandingkan dengan kediaman lain, tiada sebarang petanda bahawa rumah teres ini menyimpan ribuan khazanah yang begitu bernilai. Menjengah sebentar ke dalam kediaman yang terletak di Hala Klebang Restu 9, Medang Klebang Restu, Chemor itu, lain pula ceritanya.

Tidak ubah seperti memasuki sebuah galeri mini yang dipenuhi koleksi barangan antik dan eksklusif. Minat mendalam kepada barangan antik membawa Ramli, 63, mengembara ke beberapa buah negara termasuk England. Tambah menarik dengan pelbagai kisah dan cabaran membawa pulang barangan antik ke Malaysia.

Kotak Pemain Piring Hitam Disangka Bom

“Saya pernah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta oleh pegawai Imigresen sekitar tahun 2011 gara-gara ‘gramophone’ (pemain piring hitam) yang disangka bom, kecoh jadinya suasana di lapangan terbang itu. “Kebetulan tingkah laku saya ketika itu nampak gelisah disebabkan kapal terbang sudah mahu berlepas, ditambah dengan bungkusan pemain piring hitam yang mencurigakan pihak berkuasa.

SEJARAH… sebahagian koleksi Cikgu Ramli yangtersimpan rapi di rumahnya.

“Tetapi semuanya berjalan lancar setelah pemeriksaan dijalankan, dan mereka memohon maaf di atas salah faham itu,” kata Ramli kepada Suara Perak ketika menceritakan kembali detikdetik cemas semasa membawa pulang pemain piring hitam model pertama itu.

Ramli yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Ramli pernah menjadi pendidik di beberapa buah sekolah seperti Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Sekolah Menengah Raja Permaisuri Bainun Ipoh serta Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Ipoh.

 

 

Beliau menyandang jawatan terakhir sebagai Penolong Pengarah Kokurikulum (Kesenian) Sektor Pembangunan Kemanusiaan di Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) pada tahun 2010 sebelum bersara pada tahun 2016.

Hobi Dari Usia Lapan Tahun

Ramli menyedari hobi unik ini timbul sejak usianya lapan tahun iaitu sekitar tahun 1962 dan barang pertama yang diperoleh ialah jam lama yang masih boleh digunakan hingga sekarang.

“Bermula dengan pinggan lama arwah nenek, kemudian jam yang saya ambil untuk dijadikan kenangan, saya serius untuk mengumpul selepas habis belajar, dari situ saya mula beli dari orangorang kampung. “Bermula dari situ, bila dengar saja ada orang nak jual barang, saya pergi.

Tetapi saya lebih kepada bertukar barang, bagi saya duit boleh cari, namun barang yang ada itu sangat berharga,” katanya yang turut mendapat sokongan penuh dari isteri serta anak-anak.

TERBANG KE ISTANBUL… kerana minat, Ramli sanggup menjelajah ke Istanbul untuk meninjau kedai
barangan antik di sana.

Koleksi Istimewa Barangan Coca Cola

Galeri yang dipisahkan dari ruang tamu utama rumah itu dipenuhi lebih 5,000 koleksi gelas, botol dan barangan jenama Coca Cola dari pelbagai pelusuk negara. “Tiga kali saya ke England untuk dapatkan barangbarang antik dan lama, tempat itu di The Junk Shop berdekatan Greenwich.

Di situ barang Malaysia banyak, salah satunya saya dapat ialah setem Malaysia. “Walaupun koleksi di rumah saya lebih kepada barangan Coca Cola, tetapi saya kumpul semua barang yang jarang untuk kita dapatkan sekarang, maksudnya ‘rare’. “Apa saja barang yang dikira unik saya beli atau tukar dengan kawan-kawan, termasuk gramophone, kad telefon edisi terhad, radio lama, piring hitam, poster filem P. Ramlee dan Saloma, surat khabar yang berkaitan dengan Tun Mahathir serta pinggan mangkuk.

“Kalau diikutkan masih belum ada galeri yang mempamerkan barangan Coca Cola edisi istimewa seperti ini di Asia, disebabkan semua barang yang saya kumpul di sini sukar diperoleh dan hanya dikeluarkan dalam kuantiti terhad,” ujar Ramli.

Wakil Negara China Beli Surat Khabar

Tidak lari dari bidang yang sinonim dengannya sebelum ini, Ramli tekad untuk mengabadikan semua koleksi di rumahnya sebagai salah satu bahan kajian dan pembelajaran buat mereka yang berminat. Tidak hairanlah mengapa ada tenaga pengajar dari universiti tempatan serta pelancong luar negara yang datang ke rumahnya untuk mentelaah beberapa buah koleksi buku yang tidak terdapat di mana-mana perpustakaan.

GALERI MINI… Ramli gemar bertukar-tukar barangan yang sukar didapati dan bernilai dari segi sejarah,
setiap koleksi mempunyai cerita di sebaliknya.

“Surat khabar yang saya kumpul lengkap untuk satu tahun itu rupa-rupanya ada gunanya, tanpa disangka ada pihak dari negara China yang datang ke setiap negara untuk dapatkan keratan berita berkenaan sebuah artikel yang dikira sebagai sejarah. “Kebetulan saya ada edisi surat khabar itu dan wakil mereka datang ke sini semata-mata untuk beli surat khabar tersebut dari saya,” katanya.

“Ada individu yang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) datang untuk rujuk buku berkenaan koleksi ucapan dari pelbagai bidang. “Saya galakkan anak-anak muda atau sesiapa sahaja untuk datang ke sini tanpa dikenakan sebarang bayaran, mereka boleh lihat dan belajar tentang sejarah lampau dan kisah di sebalik koleksi barangan yang ada,” tambahnya.

Penjagaan Koleksi Antik

Setiap barangan yang dipamerkan menuntut penjagaan yang rapi bagi mengelakkan ia dari rosak, reput dan berkarat. “Walaupun barang lama seperti kamera dan jam tapi kena letak minyak kalau tidak rosak semuanya, saya akan gilap untuk pastikan ia tidak pudar. “Barang-barang ini saya akan susun di dalam almari kaca mengikut jenis-jenis koleksi,” katanya.

Besarkan Ruang Galeri, Mohon Lokasi Bersesuaian

Meskipun tidak berhadapan sebarang masalah untuk mengumpul koleksi barang di rumahnya, namun Ramli mengharapkan untuk mendapatkan sebuah bangunan yang lebih besar untuk menambahbaik ruang pameran tersebut.

“Jika ada pihak yang sudi menaja atau menyediakan tempat untuk saya pamerkan kesemua barang-barang termasuk yang masih belum dipertontonkan, saya amat alu-alukan. “Ia akan menjadi sebuah galeri yang berkonsepkan rakyat, saya tidak harapkan keuntungan, cukuplah dengan premis yang bersesuaian untuk digunakan memandangkan saiz galeri di rumah saya tidak lagi mampu menempatkan koleksi baru.

“Sebelum ini, wakil Jabatan Muzium ada datang untuk bincang beberapa perkara bagi tujuan perincian dan kerjasama, malah Tourism Perak ada cadangkan agar rumah ini dijadikan salah satu venue untuk kunjungan pelancong. “Di bahagian hadapan rumah untuk lawatan dan belakang rumah kita, tapi dengan syarat rumah ini kena diubahsuai, tapi setelah difikirkan ia kurang sesuai untuk keselesaan kami sekeluarga, saya harap supaya ada premis yang lebih selesa dan sesuai,” ujarnya.

Kamera lama yang dikumpul mengikut tahun
keluaran
Kamera lama yang dikumpul mengikut tahun keluaran
Pemain piring hitam model pertama yang dibeli
di Indonesia.
Pemain piring hitam model pertama yang dibeli di Indonesia.