IPOH: Gambar harimau yang tular di media sosial kononnya pak belang itu sedang melintas jalan di Meru, dekat sini adalah tidak benar.

Gambar yang sama pernah tular pada 6 Mac lalu, kononnya dirakam di Jalan Lepar, Gambang, Pahang dan telah dinafikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) negeri Pahang.

Menurut laporan akhbar keesokan harinya, Pengarah Perhilitan Pahang, Ahmad Azhar Mohammed berkata, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati gambar yang tersebar itu sebenarnya dipercayai telah dirakam di India dan diambil daripada internet sebelum disebarkan.

Katanya, sebelum itu beliau dimaklumkan ada pihak menggunakan gambar yang sama dan mendakwa harimau itu ditemui di Mersing, Johor pula.

Jurucakap Perhilitan negeri Perak ketika diminta mengulas gambar yang tular di media sosial sejak malam tadi meminta Suara Perak merujuk kepada Facebook rasmi Perhilitan mengenai perkara tersebut.