KUALA TERENGGANU: Gambar ‘Mowgli Malaysia’, Mohd Syukur Khamis, 14, bersama kerbau peliharaan keluarganya terpilih ke pertandingan akhir Anugerah Fotografi Akademi Camarena (CAPA) India 2019.

Berita mengenai gambar ‘Syukur The Kampung Boy’ itu dikongsikan jurugambarnya, Abdullah Dean Mohd Zain, 44, atau lebih dikenali dengan panggilan Dallah Deen, melalui laman Instagram dan Facebook beliau, semalam.

Pertandingan menawarkan hadiah utama wang tunai 1 lakh rupee India (RM5,748) itu turut mencalonkan sembilan gambar lain yang dirakam jurugambar dari seluruh dunia, termasuk India, Pakistan dan Dubai.

Dallah Deen berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemilihan gambar Mohd Syukur ke pertandingan akhir CAPA India 2019.

“Gambar Mohd Syukur sememangnya bertuah dan sentiasa menarik perhatian mentor pemilih serta penilai CAPA.

“Sejak 2016, saya menyertai CAPA dan gambar aksi Mohd Syukur bersama kerbau tidak pernah mengecewakan.

“Gambar Mohd Syukur sedang berhadapan dengan kerbau itu adalah yang kelima tersenarai ke pertandingan akhir CAPA.

“Kali ini, gambar Mohd Syukur sedang berinteraksi dengan kerbau akan bertanding dalam Kategori Kehidupan Harian dan saya berharap ia terpilih sebagai gambar terbaik,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, walaupun sudah empat kali gambar dirakam membabitkan Mohd Syukur bersama kerbau berjaya ke pusingan akhir pertandingan itu tanpa meraih kemenangan, beliau tidak patah semangat.

“Saya tidak malu sekiranya kalah pada pertandingan itu kerana menyedari persaingan sengit daripada jurugambar seluruh dunia.

“Berjaya ke peringkat akhir pun sudah memadai dan satu kebanggaan bagi saya, sekali gus memberi motivasi untuk diri terus berkarya,” katanya yang memperoleh pengiktirafan daripada Persatuan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) sebagai jurugambar kembara pada 2017.

Mengulas lanjut, Dallah Deen berkata, gambar Mohd Syukur bersama kerbau sentiasa mendapat perhatian, malah tidak asing lagi dalam kalangan jurugambar serata dunia dan ahli panel pemilih pertandingan.

“Saya sendiri pernah beberapa kali mengiringi jurugambar dari pelbagai negara ke kandang kerbau keluarganya di Kampung Kubang Bujuk untuk merakamkan gambar Mohd Syukur,” katanya – berita harian