IPOH – Gandingan ulama dan umara disertai iman dengan amal merupakan kunci kekuatan umat islam sebenar, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Beliau berkata, sejarah telah mencatatkan bagaimana ketika ulama dan umara berganding bahu membentuk ummah yang mempunyai keutuhan dan menzahirkan iman dengan amal, umat Islam berjaya menguasai dunia selama 14 abad.

“Umat islam berada di puncak kegemilangan ketamadunan dengan sayap islam cemerlang di Timur dan Barat, penguasaan ini menunjukkan kekuatan dan menjelmakan keizzahan umat sehingga mereka dikagumi oleh kawan mahupun lawan.

“Namun bilangan gandingan ulama-umara tidak lagi bertauh bakhan sudah pecah tanpa menunggu retak, ketika itulah ummah seolah hilang ibu dan ayah.

“Bak ayam berlaga sekandang, ayam ditambat disambar helang, padi di tangan tumbuh lalang, tamadun Islam jatuh satu persatu,” katanya ketika berucap dalam majlis Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini pada Isnin.

Justru Harussani berkata, ukhwah umat Islam hari ini perlu diperkukuhkan dan diperjalinkan kembali dan satu usaha serius perlu dilakukan bagi mengembalikan kegemilangan islam.

“Semangat persaudaraan sesama Islam masih tetap ada seperti api nan tak kunjung padamnya namun ia tidak udah dimarakkan jika ulama-umara masih bertelagah.

“Umat islam perlu mencari satu jawapan yang benar-benar mampu mengatasi masalah kemunduran umat islam dan mencari jalan terbaik bagi kebangkitan semula peradaban Islam,” ujar beliau.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan program berkenaan. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Program Muzakarah dengan tema “kepimpinan dan kekhalifahan, gagasan konstruktif ulama dan umara” itu berlangsung selama tiga hari dan akan berakhir esok.

Program melibatkan penyertaan golongan profesional pelbagai bidang termasuk agamawan ini merupakan kesinambungan muzakarah ulama dan cendekiawan Islam yang dianjurkan sejak 1995.