IPOH: Beberapa kawasan di wilayah barat Taiping berdepan masalah bekalan air ekoran kejadian tanah runtuh berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Trong, petang semalam.

Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Mohd. Yusof Mohd Isa berkata, kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu menyebabkan paip yang menyalurkan air mentah dari loji tersebut patah dan gagal berfungsi.

Menurut beliau, antara kawasan yang terlibat adalah seluruh kawasan Trong, Changkat Jering, Bukit Gantang, Bukit Berapit, Changkat Ibol serta kawasan berhampiran.

“Pihak LAP telah mengambil langkah sewajarnya bagi membaik pulih kerosakan selain melakukan pengezonan semula dengan membekalkan air dari LRA Air Terjun kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Menurutnya, langkah itu membolehkan beberapa kawasan seperti Pekan Trong untuk kembali menerima bekalan air.

“Begitu pun, masih terdapat kira-kira 2,300 akaun pengguna yang masih mengalami gangguan bekalan melibatkan penduduk di kawasan Changkat Ibol, Bukit Gantang, Kampung Kubu dan Kampung Pauh,” ujarnya.

Menurut Mohd Yusop, bekalan air ke kawasan tersebut dijangka pulih dalam tempoh dua hari.

Dalam pada itu, katanya, pihak LAP akan menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas dengan menggunakan lori-lori tangki sehingga keadaan kembali pulih.