IPOH: Gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini hanya berlaku di musim-musim perayaan di mana bilangan pengguna meningkat 10 kali ganda daripada biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, adalah menjadi budaya masyarakat di Malaysia, penduduk bandar pulang ke kampung beramai-ramai.

Menurut beliau, fenomena itu memberi tekanan kepada mana-mana sistem bekalan air sedia ada dan sesetangah tempat akan mengalami gangguan bekalan air, terutamanya pada pembangunan air pada waktu puncak.

“Untuk menyediakan satu sistem bekalan air yang dapat memenuhi sepenuhnya permintaan air yang meningkat pada waktu-waktu sebegini, yang berlangsung dalam satu dua minggu sahaja,” katanya ketika menjawab soalan lisan Chua Yee Ling (PKR-Kuala Sepetang) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Zainol memberitahu, sistem yang `oversized’ adalah tidak ekonomik dan pada masa yang sama akan timbul masalah kualiti air apabila sistem ini beroperasi pada waktu permintaan air berada pada tahap biasa.

Sehubungan itu, katanya, buat masa ini, LAP tidak bercadang untuk membina tangki tambahan di kawasan ini.

Bagaimanapun, tambahnya, LAP telahpun membuat pengubahsuaian dalam sistem bekalan air secara keseluruhan dengan menggunapakai semula Kolam Air Changkat Orang Putih yang bermuatan 2.25 juta liter sebagai kolam simpanan untuk membekalkan air keseluruh kawasan Kuala Sepetang, Seberang Kuala Sepetang, Matang dan kawasan sekitarnya.

Terdahulu, Zainol memberitahu, bekalan air di kawasan berkenaan diperolehi dari Loji Air Terjun dan Lembaga Air Perak (LAP) telahpun melaksanakan kerja menaikkan taraf loji itu.

Menurutnya, hasil kerja-kerja itu, kapasiti bekalan dari loji itu telah ditingkatkan daripada 15 juta liter sehari kepada 65 juta liter sehari, termasuk menaik taraf paip air mentah yang siap pada 2015.