TEMERLOH – Gangguan bekalan air yang berlaku di daerah ini pada Khamis lalu melumpuhkan aktiviti harian penduduk bandar Temerloh, Mentakab dan Lanchang.

Gangguan yang berlaku dikatakan berpunca daripada kerja penyambungan paip bersaiz 1,200 mm di kawasan Projek Jambatan Songsang Sungai Semantan di sini.

Bagaimanapun gangguan yang berlaku sepatutnya pulih dalam tempoh 16 jam pada 18 Mei lalu berlanjutan sehingga kelmarin.

Penduduk di beberapa kawasan menyatakan rasa kesal dengan apa yang berlaku sambil menyifatkan tindakan susulan sepatutnya dibuat termasuklah menyalurkan bekalan air menerusi lori tangki ke kawasan terjejas.

Khairul Nizam Mohamed, 40, berkata, dia tidak menyalahkan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) semata-mata sebaliknya beberapa tindakan susulan perlu dilakukan memandangkan jumlah penduduk yang terjejas akibat gangguan itu begitu ramai.

“Kena ambil pandangan banyak pihak supaya tak akan berlaku lagi kejadian gangguan bekalan sehingga lebih 24 jam kerana ia benar-benar jejaskan penduduk,” katanya.

Sohar Md Zin pula berkata, ada beberapa sekolah yang terlibat dengan gangguan berkenaan gagal membuat persediaan dan menyebabkan tandas murid kotor.

“Sepatutnya guru besar atau pengerusi PIBG dah ada tindakan awal untuk mengatasi masalah ni sebab Paip sudah maklumkan akan berlaku gangguan bekalan, mereka ini sepatutnya minta Paip sediakan bekalan air ke sekolah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menggesa Paip menjemput wakil rakyat tidak kiralah untuk turut serta dalam mesyuarat atau taklimat berkaitan gangguan air atau apa sahaja bencana yang berlaku dalam tempoh masa lama.

Menurutnya, beliau mencadangkan beberapa tindakan drastik perlu diambil bagi menambah baik tindakan jika berlaku lagi gangguan pada masa akan datang.

“Selain notis pemberitahuan, Paip dicadangkan menggunakan kenderaan dengan pembesar suara dan memberikan informasi di kawasan yang terlibat serta menyediakan tapak iklan yang kedudukannya strategik serta boleh dilihat orang orang ramai.

“Paip juga perlu sediakan flyer yang ditulis dengan bahasa yang mudah difahami dan diedarkan di kawasan terlibat sekurang kurangnya tiga hari sebelum gangguan ini berlaku,” katanya.

Zulpuri berkata, cadangan lain yang perlu diambil termasuklah meminjam tangki statik dari daerah lain jika kawasan yang terlibat besar dan luas.

Menurutnya, cara lain yang lebih pantas dan tepat termasuklah menggunakan media sosial dengan membuat hebahan kepada semua pengguna menerusi telefon pintar.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat, Nurul Farhana Abdul Hamid menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, gangguan terpaksa dilanjutkan kelmarin berikutan kerja-kerja penyambungan paip MSCL bersaiz 1200 mm di kawasan Projek Jambatan Songsang Sungai Semantan yang dilakukan kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) yang masih belum siap sepenuhnya.

Katanya, gangguan bekalan yang melibatkan akaun pengguna sebanyak 38,164 hanya beransur pulih selepas jam 12 tengah malam secara berperingkat.

-SinarHarian