IPOH: Gangguan bekalan air di Seri Iskandar, Parit yang berlaku baru-baru ini dijadual pulih hari ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurutnya beliau ingin menegaskan bahawa masalah bekalan air buat penduduk di kawasan itu bukanlah berikutan sumber air yang kering sebaliknya disebabkan masalah sistem pengaliran dan kawalan air.

Katanya, ianya melibatkan sistem janakuasa yang dikendalikan serta dikawal pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun masalah itu kini sedang beransur pulih.

f8d73e3d-bbfa-499d-ac2e-8c6090e2ded2

“Pihak TNB memberi maklumat, bahawa mereka telah mengalirkan air itu dan dijangka air akan sampai dalam tempoh 16 hingga ke 20 jam, dan maklumat terbaru ini telah dimaklumkan kepada pihak yang terlibat.

“Buat masa ini, kita jangkakan mulai pagi ini kadar air akan naik di kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di sekitar Seri Iskandar,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program Selamat Pagi Perak anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (Perak) di Auditorium RTM Perak, di sini pada pagi Khamis.

Dr Zambry menambah, antara faktor lain yang menyebabkan permasalahan bekalan air itu adalah berikutan kekurangan taburan hujan di kawasan tertentu justeru menyebabkan kawalan air di hulu tidak mengalir pada kapasiti yang sepatutnya.

ADUN Pangkor itu juga berkata bahawa pihak Lembaga Air Perak (LAP) kini telah bekerjasama dengan TNB untuk memastikan aliran air daripada empangan Chenderoh akan dapat mengalirkan air sehingga ke kawasan yang memerlukan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata gangguan bekalan air di sekitar kawasan berkenaan terjejas berikutan paras air di empangan mengalami penurunan paras air sejak beberapa hari lalu.

“Saya menerima maklumat daripada LAP (Lembaga Air Perak) paras air di Sungai Perak mengalami penurunan yang agak drastik sekali gus tidak dapat memasuki loji rawatan air LAP.

“Oleh itu, LAP terpaksa meningkatkan operasi mengepam air dan telah meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pelepasan air di empangan hidroelektrik sebanyak 250 cubic meter berbanding 100 hingga 150 cubic meter pada kadar biasa,” katanya.

Zainol Fadzi berkata beliau belum menerima maklumat terperinci daripada LAP mengenai faktor sebenar penurunan paras air di Sungai Perak.

“Saya juga telah meminta JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan JMG (Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia) untuk mengkaji punca paras air di Sungai Perak turun mendadak sama ada disebabkan cuaca panas atau mempunyai lain-lain faktor,” katanya.