Oleh: Aida Aziz

“SEBAIK sahaja melepasi selekoh yang digelar Bukit Berapit di Batu 7, Parit, kereta yang makcik pandu terasa sangat berat seolah-olah tidak bergerak walaupun pedal minyak sudah ditekan habis.”

Noraishah Ahmad, 60, dari Pengkalan, Ipoh, membuka cerita ketika ditanya Suara Perak mengenai kejadian mistik yang dialaminya ketika melalui Jalan Siputeh – Parit , tidak lama dahulu.

Jalan yang pernah menjadi laluan utama ke Beruas itu menjadi buah mulut masyarakat setempat apabila ramai yang dikatakan “terkena” atau “ditegur” oleh makhluk mistik.

Kisah-kisah ini dahulunya menjadi bualan penduduk kampung dan mereka yang pernah mengalaminya, kini dalam era perkongsian maklumat di medan digital, ramai pula yang berkongsi cerita di internet dan laman sosial.

Kereta Berat, Bagai Ada Yang ‘Menumpang’

Peristiwa yang menimpa Noraishah ketika pulang dari Beruas bersama suaminya beberapa tahun lalu masih kukuh di ingatannya.

“Pada malam itu, makcik terpaksa memandu kereta kerana suami makcik kurang sihat. Sepanjang perjalanan, dia tidur sehinggalah kereta tiba-tiba menjadi perlahan di selekoh tajam yang dikelilingi dengan pokok nipah.”

“Makcik cuba mengejutkan suami, tetapi suara seakan-akan tersekat di kerongkong. Waktu itu, dalam fikiran makcik memang teringat kisah-kisah yang pernah orang ceritakan.

“Setelah kereta melepasi selekoh itu, barulah ia kembali normal. Makcik seakan-akan tidak percaya yang makcik sendiri mengalami kejadian itu,” katanya.

Pokok Nipah dan Cacing Dalam Tempurung

Noraishah turut menceritakan, ada juga kisah aneh mengenai seorang pemandu yang didatangi seorang lelaki tua ketika keretanya rosak berhampiran jalan itu.

“Ada orang pernah rosak kereta di situ, selepas itu ada seorang lelaki tua datang bertanyakan tentang kereta. Pakcik tua itu mengajak dia bermalam di rumahnya memandangkan bengkel sudah tutup.

“Orang tua itu memberinya makan dan tidur, apabila terjaga keesokan harinya, dia terkejut kerana berada di pangkal pokok nipah dan di sebelahnya terdapat tempurung yang penuhi cacing, katanya malam itu dia dijamu mi goreng,” ujar Noraishah.

Persimpangan Jalan Hilang Dari Pandangan

Sementara itu, Penghulu Mukim Belanja, Nor Shahidah Ahamad turut mengalami kejadian misteri ketika melalui laluan tersebut, namun situasinya agar berbeza.

Dia yang ditemui Suara Perak untuk mendengar sendiri kisah mistik itu sudah menjangka soalan yang seringkali menjadi topik perbualan ramai.

“Ini pengalaman saya sendiri sepanjang melalui jalan itu, pada penghujung tahun 2016, seperti biasa selepas jam 5 petang, saya bersiap sedia untuk balik ke rumah yang terletak di Seri Iskandar.

“Biasanya, dari Parit, saya akan membelok ke kanan di simpang ke Seri Iskandar. Namun, hendak dijadikan cerita, pada hari tersebut saya tidak nampak apa-apa simpang pun. Jadi, kereta terus meluncur laju ke Siputeh sehinggalah saya sedar jalan itu salah,” jelasnya.

Katanya, dia membaca ayat-ayat suci al-Quran dan bertenang, lebih kurang jam 6 petang, barulah dia akhirnya menemui simpang ke Seri Iskandar.

Kemalangan Maut di Selekoh Tajam

Seorang penduduk asal, Azzan Ghani, 30, yang kini menetap di Bemban, Batu Gajah berkata, banyak kes kemalangan maut berlaku di selekoh Bukit Berapit itu.

Namun kini, katanya, selekoh maut itu sudah ditutup kepada pengguna jalan raya.

“Dahulu ia merupakan satu-satunya jalan ke Parit tetapi sekarang sudah ada jalan baru yang lebih selamat.

“Ia dinamakan begitu kerana selekoh tajam dan sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya terutama di waktu malam,” katanya.