KETUA Jabatan Ortopedik di sebuah hospital kerajaan yang didakwa terbabit dengan kes gangguan seksual digantung daripada menjalankan tugas selama dua bulan bermula semalam, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, keputusan menggantung tugas ketua jabatan yang sebelum ini diarahkan untuk bercuti dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkenaan termasuk Kementerian Kesihatan.

“Kementerian Kesihatan akan memulakan siasatan dalamannya minggu hadapan dan laporan itu kemudian akan diserahkan kepada SPA untuk proses menamatkan perkhidmatan Ketua Jabatan itu.

“Bagaimanapun, beliau mempunyai hak untuk mempertahankan kedudukannya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup bersama kakitangan jabatan di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Minggu lalu, sebuah badan bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan mengesyorkan ketua jabatan itu digantung tugas.

Dzulkefly dilaporkan sebagai berkata akan cuba untuk menyelesaikan perkara itu dengan sebaik mungkin – hmetro