MAYAT seorang lelaki ditemui dalam keadaan tergantung pada dahan pokok mangga dalam kejadian di Tenom, hari ini.

Lelaki berusia 50-an itu ditemui seorang penduduk kampung kira-kira jam 6.30 pagi ketika lalu di kawasan terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tenom, Asisten Superintendan Ahmad Razali Shaari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.05 pagi.

“Orang awam memaklumkan ada seorang lelaki dipercayai mati akibat menggantung diri pada sebatang pokok mangga di kampung itu.

“Siasatan awal mendapati, saksi seorang lelaki berusia 40-an dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah ternampak lelaki itu tergantung pada dahan pokok mangga,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Ahmad Razali berkata, saksi melihat lelaki itu sudah tidak bernyawa lagi sebelum memaklumkan pada jiran terdekat untuk menghubungi polis.

‘Hasil siasatan di tempat kejadian, lelaki itu dipercayai membunuh diri dengan cara mengikat tali nilon pada dahan pokok itu dengan menggunakan kerusi. Tali itu diikat pada lehernya.

“Lelaki itu dipercayai merebahkan kerusi itu menyebabkan lehernya terjerut dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang dokumen namun dipercayai warga asing.

“Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Tenom untuk dibedah siasat dan siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan masih diteruskan,” katanya – hmetro