IPOH: Kira-kira 2,000 jemaah Umrah di Perak terlibat dengan keputusan kerajaan Arab Saudi untuk menggantung sementara pengeluaran visa umrah sebagai langkah pencegahan berikutan penularan COVID-19.

Bagaimanapun mereka tidak perlu bimbang kerana mereka tidak akan mengalami kerugian dari segi wang ringgit ekoran penangguhan itu.

Pengerusi Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak, Mohamad Ali Sabri berkata, pihaknya akan terus memberi penjelasan kepada jemaah yang kebanyakkan baru pertama kali mendaftar untuk mengerjakan umrah.

“Insya Allah masih duit mereka, cuma kita menangguh pada tarikh untuk mereka terbang sahaja. Lain-lain daripada situ, insya Allah kita akan berilah seperti mana yang telah kita buat perjanjian, terma dan syaratnya telah kita buat perjanjian.

“Memang setiap penerbangan ataupun setiap jemaah yang akan ke Arab Saudi ataupun ke mana-mana buat pelancongan, dia mesti ada terma dan syarat, insya Allah kita mengikut terma dan syarat yang sedia ada,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media khas di Ipoh pada Jumaat bagi menjelaskan situasi terkini kesan keputusan kerajaan Arab Saudi itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini yang mereka perolehi, penangguhan itu mungkin selama 14 hari dari tarikh hari ini.

Bagaimanapun, pihak persatuan yang mempunyai 35 ahli berdaftar akan terus memantau perkembangan keputusan kerajaan Arab Saudi itu dari semasa ke semasa.

Dalam masa sama, pihak persatuan juga akan memaklumkan kepada jemaah umrah supaya mereka tidak panik atau bimbang akan mengalami kerugian.