KUALA LUMPUR: Pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) David Teoh ditampar pelakon Sulaiman Yassin (Mat Over) ketika bertanyakan soalan pada sesi program Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri”:Segmen Penggiat Seni (Budayawan), di Dewan Bankuet, Seri Perdana, Putrajaya.

Kejadian berlaku selepas David mahu bertanyakan soalan kepada moderator dialog berkenaan iaitu pelakon Datuk Rosyam Nor. Insiden tersebut turut disaksikan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Personaliti TV terkenal, Datuk Aznil Nawawi yang berada di tempat kejadian menceritakan situasi yang berlaku di lokasi kepada Astro AWANI.
“Saya duduk di belakang Datuk Seri Najib. Kami agak terperanjat.

“Ia berlaku secara tiba-tiba. Mungkin ada amarah tersimpan lama dan dihuraikan di situ, apabila David bangun dan meminta kebenaran untuk bercakap, melalui pengacara dialog iaitu Rosyam Nor.

“Tiba-tiba dalam proses untuk mendapatkan kebenaran untuk bercakap, menyuarakan pendapat, kepada perdana menteri Mat Over yang datang daripada arah belakang saya, berjalan dengan tangkas ke hadapan melintasi orang ramai,” tambah Aznil.

Beliau berkata ketegangan berlaku apabila Mat Over menampar muka David Teoh.

“Semua yang berada di dalam program itu berada dalam keadaan terkejut. Perdana Menteri pun berada dalam keadaan terkejut.

“Namun Rosyam cuba mengawal keadaan tersebut dengan baik,” tambah Aznil.

Selepas insiden tersebut, Aznil berkata Mat Over dan David Teoh telah dibawa keluar daripada dewan itu.