IPOH: Gara-gara sekotak minuman laici, seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama bantuan kerajaan di Jelapang dekat sini trauma setelah diserang sekumpulan pelajar senior menyebabkan rusuk kirinya patah.

Mangsa Mohd Aiman Fahmi Norrizal, 13, mendakwa pada 16 November kira-kira jam 8.00 malam semasa berada di asrama seorang pelajar senior datang meminta minuman kotak berperisa laici yang disimpannya di dalam laci almari namun beliau tidak melayan permintaan pelajar senior itu.
Katanya, pada kira-kira jam 1.30 pagi dia telah dikejutkan oleh seorang pelajar senior yang menyuruhnya pergi ke surau.

Menurut Mohd Aiman, setibanya di surau dia telah dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior sebelum ditinggalkan dalam keadaan kesakitan.

“Seingat saya lebih 10 pelajar senior menendang dan menumbuk dada, rusuk dan belakang saya menyebabkan saya terpaksa menahan kesakitan.

“Sebelum meninggalkan saya di surau mereka mengugut akan membelasah saya sekali lagi sekiraya saya mengadu hal mengenai kejadian itu kepada guru,” katanya kepada pemberita di rumahnya No: 20 Jalan Seri Kinta, Kampung Seri Kinta, Ipoh pada Selasa.

Menurut Mohd Aiman, selepas insiden buli itu dia mengalami sesak nafas sehingga terpaksa meminta bantuan seorang pengawal keselamatan sekolah untuk menghubungi bapanya sebelum dibawa pulang ke rumah.

Sementara itu bapa mangsa Norrizal Ramly, 36, kecewa atas insiden yang menimpa anak sulungnnya itu dan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah atas kecuaian sehingga menyebabkan anaknya dibuli sehingga patah rusuk kiri.

Katanya, pada 16 November jam 3.30 petang dia telah membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Greentown dimana doktor mengesahkan kesan lebam di badan dan dada anaknya akibat dipukul.

“Keesokkan harinya saya telah menemui penolong pengetua untuk meminta penjelasan tentang insiden buli tetapi malangnya anak saya pula dipersalahkan kerana dikatakan mengejek pelajar senior,” katanya.

Menurut Norrizal melihat kesakitan yang ditanggung anaknya itu beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polsi Kampung Tawas pada 18 November sebelum pihak polis mengeluarkan surat pemeriksaan kesihatan di Hospital Ipoh.

“Semasa pemeriksaan di Hospital Ipoh doktor mengesahkan tulang rusuk kiri anak saya patah akibat dipukul,’’ katanya.

Susulan insiden itu beliau dan isterinya telah mengambil keputusan untuk menukar sekolah anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Pasir Putih bagi sesi persekolahan tahun depan.


“Sebut sahaja sekolah asrama anak saya tidak mahu lagi belajar di sekolah asrama kerana trauma takut insiden buli berulang lagi,” katanya.

Norrizal juga memberitahu setelah tidak mendapat sebarang tindak balas daripada pihak sekolah maka beliau telah memviralkan kesan kecederaan di badan anaknya di dalam facebooknya semalam.