IPOH : Perselisihan faham dipercayai menjadi punca sekumpulan lelaki bertindak membakar sebuah motosikal di perkarangan sebuah rumah di Jalan Kledang Utara, Taman Gamelan Menglembu di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, kejadian pada pukul 9.30 malam itu melibatkan kebakaran sebuah motosikal jenis SYM milik seorang lelaki berusia 53 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Katanya, perbuatan kumpulan lelaki tersebut telah dilihat jiran mangsa sebelum bertindak menghubungi lelaki berkenaan bagi memaklumkan kejadian itu.

“Ketika kejadian, pengadu dan keluarganya tiada di rumah. Mereka hanya dimaklumkan tentang kejadian itu daripada seorang jiran menerusi panggilan telefon.

“Jiran lelaki itu memberitahu yang dia melihat sekumpulan lelaki datang ke rumah mangsa dan membakar motosikal berkenaan sebelum beredar,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal ke atas lelaki itu memberitahu yang dia mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh kumpulan lelaki yang bergaduh dengan isteri dan dua anak lelakinya.

Katanya, pergaduhan yang berlaku sebelum kejadian kebakaran itu dikatakan berpunca kerana perselisihan faham tentang cara pemanduan.

“Pengadu syaki suspek ialah lelaki sama yang memukul isteri dan dua anak lelakinya berusia 18 dan 21 tahun pada malam sebelum motosikalnya terbakar.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” katanya.

-UTUSAN ONLINE