KLANG – Tangan tersepit kerana cuba ambil telefon bimbit yang terjatuh di dalam lubang tandas.

Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Sri Acmar, Bandar Baru Klang melibatkan mangsa seorang pekerja pendawaian internet.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, kejadian kira-kira jam 1.19 petang itu berlaku ketika mangsa seorang lelaki warga Bangladesh dikatakan cuba mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh di dalam lubang tandas.

“Bagaimanapun tangan mangsa telah tersangkut.

“Bomba yang menerima panggilan segera ke lokasi kejadian. Mangsa telah diberikan suntikan penenang kerana mangsa yang berteriak enggan memberikan kerjasama ketika bomba menjalankan kerja memecahkan lantai konkrit,” katanya.

Beliau berkata, lantai konkrit tandas berkenaan dipecahkan dan paip di tingkat bawah telah dipotong.

Katanya, tangan mangsa berusia lingkungan 40-an itu berjaya dikeluarkan.

-SinarHarian