BATU GAJAH: Seorang buruh ladang, Faizal Yeop Idris, 29, dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas kesalahan mengugut yang boleh mendatangkan khianat awam dengan kata-kata ugutan ada bom di tempat awam.

Majistret Mohd Fitri Sadarudin memerintahkan Faizal supaya menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 25 Februari lalu.

Faizal mengaku salah melakukan perbuatan itu di lampu isyarat Simpang Empat Bota Kiri, Bota dalam Daerah Perak Tengah pada kira-kira jam 11 pagi 25 Februari lalu.

Dia melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwaraya, Nurul Qistini Qamarul Abrar dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhi hukuman berat ke atas Faizal sebagai pengajaran kepada orang lain memandangkan kes seumpama itu amat serius.

Katanya, pesalah sebelum ini mempunyai dua kesalahan lampau iaitu kesalahan dadah dan mencuri.