IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan mengeluarkan manual pengurusan tanah perkuburan Islam pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amirudin Muhamed berkata, manual itu akan bertindak sebagai garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak dalam soal pengurusan tanah perkuburan Islam di negeri ini.

“Sudah tiba masanya kita mengeluarkan manual untuk menyelaraskan pengurusan tanah kubur kerana sekarang ini, ianya agak rumit kerana ada yang milik individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak lagi, dan semuanya mengikut peraturan masing-masing.

“Kita tidak mahu satu hari nanti, tanah perkuburan Islam dikomersialkan sehingga nak kebumi jenazah pun dicaj sehingga RM5,000 atau RM6,000; jadi kita perlu mewujudkan manual dan undang-undang untuk mencegah perkara ini berlaku,” katanya pada sidang media selepas Majlis Agihan Wakaf Saraan Kubur di sini pada Isnin.

Tambah Dr Amirul, pada ketika ini, manual itu masih di peringkat awal dan hanya akan diguna pakai selepas ia betul-betul diperhalusi.

“Ianya agak rumit kerana melibatkan pelbagai isu dan kita menggunakan manual yang dikeluarkan di Selangor sebagai panduan,” jelasnya.

Dalam pada itu, manfaat Wakaf Saraan Kubur disampaikan kepada lapan penerima dari daerah Kinta dengan jumlah keseluruhan agihan berjumlah RM75,896.