SUNGAI BULOH: Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kampung Selamat, Jalan Welfare, di sini, terpaksa ditutup kira-kira 30 minit susulan kebocoran saliran gas di kawasan pembinaan berhampiran, petang semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor yang menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu turut mengesahkan tiada mangsa yang terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.09 petang sebelum tiba di lokasi enam minit kemudian.

Katanya, seramai sembilan anggota diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hazrin Zulkifli, bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh.

“Kami terima panggilan kecemasan mengenai saliran gas berdiameter 20.32 sentimeter bocor di sebuah tapak pembinaan, pasukan yang dikerah ke lokasi kejadian kemudian mendapati pihak Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) sudah berada di lokasi kejadian.

“Anggota bomba ditempatkan di lokasi untuk memastikan kerja penutupan injap gas dilaksanakan oleh pasukan Gas Malaysia dalam keadaan selamat. Tiada mangsa terlibat susulan insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Hazrin berkata pihaknya turut mengarahkan supaya stesen MRT ditutup buat sementara bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Kita keluarkan arahan untuk stesen ditutup sementara kerja penutupan injap dilakukan, kira-kira 30 minit kemudian stesen kembali beroperasi seperti biasa,” katanya – berita harian