IPOH: Kerajaan yakin program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) bakal meningkatkan jumlah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengeksport produk mereka ke luar negara menjelang 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata, ketika ini daripada 645,000 jumlah syarikat PKS yang berdaftar di negara ini, hanya 18 peratus daripadanya terlibat dalam aktiviti mengeksport.

Menurut beliau, jumlah itu masih kecil dan kerajaan berharap GEB akan dapat menambah bilangan kepada 32 peratus menjelang 2020.

“GEB ini akan dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia (SME Corp) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sekarang ianya dibuka untuk mana-mana syarikat PKS memohon,” katanya dalam satu sidang media selepas melakukan lawatan kerja di sekitar Ipoh pada Khamis.

Turut hadir dalam lawatan itu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Ahmad Maslan menjelaskan, antara bantuan yang ditawarkan melalui program tersebut adalah pinjaman sehingga RM5 juta dengan kadar keuntungan 2 peratus termasuk grace period sehingga 24 bulan.

“Selain itu program ini juga boleh memberi geran sehingga RM500,000 kepada PKS-PKS yang layak untuk membantu mereka dari segi menubuhkan pejabat operasi di luar negara, aktiviti promosi dan pemasaran di luar negara, peningkatan pembungkusan dan pelbagai lagi.

“Pinjaman sehingga RM5 juta dengan tempoh pembiayaan 1 hingga 10 tahun itu pula khusus untuk modal kerja, pemasangan dan penggunaan ICT serta perlatan mesin dan pengubahsuaian kilang, selain pembiayaan promosi berskala besar seperti billboard,” ujar beliau.