IPOH: Pemegang saham Proton Holdings Berhad (Proton), Zhejiang Geely Holdings Group Co., Ltd (Geely) mengenakan syarat kepada vendor Proton supaya mengutamakan pekerja tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri Dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, mereka juga akan memberi latihan kepada anak muda Perak untuk bekerja di kilang Proton di Tanjung Malim.

Katanya, beliau dimaklumkan terdapat kira-kira 42 syarikat akan diberi peluang menjadi vendor Proton di sekitar kawasan Tanjung Malim.

“Vendor-vendor ini juga disyaratkan untuk memberi keutamaan kepada pekerja tempatan bekerja di kilang mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Ir Mohammad Nizar berkata, beliau sendiri telah melawat kilang Geely bulan lalu dan mereka memberi jaminan akan melatih anak muda tempatan

Kilang Proton di Tanjung Malim yang beroperasi sejak 2013 dengan pelaburan kira-kira RM2.3 bilion telah mengambil kira-kira 1,700 pekerja yang kebanyakkan terdiri daripada penduduk di sekitar Tanjung Malim, Behrang dan Slim.

Menurut beliau, kilang Proton di Tanjung Malim sedang diperbesarkan bagi membolehkan model-model kenderaan baru dibina di samping meningkatkan jumlah pengeluaran tahunan kenderaan.

Katanya, hal itu bakal merancakkan lagi aktiviti sektor pembuatan di kawasan Tanjung Malim, sekaligus membuka kira-kira 8,000 peluang pekerjaan baru untuk rakyat di negeri Perak sehingga tahun 2023.

Ir Mohammad Nizar berkata, ia menunjukkan bahawa negeri Perak mempunyai potensi jangkamasa panjang kepada pelabur asing dan tempatan.

Pelaburan ini akan memberi impak berganda kepada ekonomi negeri Perak selain menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada anak-anak muda di negeri ini.

Dalam masa yang sama, kata beliau, pembinaan Lebuhraya Pantai Barat sepanjang 170 kilometer yang menghubungkan Banting-Taiping akan memberi impak positif kepada daerah-daerah seperti Hilir Perak, Bagan Datuk, Perak Tengah, Manjung serta Larut Matang melalui limpahan rantaian susur keluar kepada kawasan-kawasan tersebut.

“Kesemua ini berada dalam perancangan Kerajaan Negeri yang telah disusun dan akan dilaksanakan secara berperingkat dan menyerluruh bagi memastikan peningkatan pendapatan penduduk negeri Perak menjadi keutamaan terutamanya anak-anak muda di negeri ini,” ujaranya.