PUTRAJAYA – Gelaran kafir harbi atau kafir zimmi kepada masyarakat bukan Islam khususnya di negara ini tidak wajar digunakan oleh mana-mana pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan mengelar dengan panggilan itu dikhuatiri akan menimbulkan implikasi negatif.

“Saya rasa kalau kita mula mengelar-gelar orang dengan istilah itu dia ada implikasinya

“Kalau kita kata orang itu kafir harbi, kalau sari segi operasinya, kalau orang itu harbi, maka halal darahnya.

“Adakah kita memberi lesen untuk membunuh?

“Kalau kafir zimmi, dia bayar jizyah, itu syarat dalam feqah, mana orang bayar jizyah, hari ini orang bayar cukai.

“Oleh kerana realiti itu, kita kena meletakkan diri kita dari sudut operasi. Falsafah, buku tentangnya tetap akan termaktub di dalam sejarah,” katanya kepada pemberita selepas berucap dalam sesi Town Hall Maqasid di Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mujahid dalam ucapannya berkata, bukan Islam di negara tidak boleh panggil dengan gelaran sama ada kafir zimmi atau kafir harbi.

Ini kerana katanya, dalam Maqasid Syariah, istilah tidak lagi digunakan pada masa ini kerana mereka dijamin Perlembagan melalui kewarganegaraan.

Menurut Mujahid, sekiranya istilah itu terus digunakan, seolah-olah bukan Islam cuba memerangi Islam secara terang-terangan.

“Tak boleh kata kafir ini zimmi atau harbi bila dia dapat kewarganegaraan Malaysia

“Dalam Maqasid tiada lagi istilah kafir zimmi dan kafir harbi. Bila masa kafir ini memerangi Islam di negara ini?” tegasnya.

Jelas Mujahid lagi, melalui sistem kewarganegaraan, perbezaan warganegaranya tidak berasaskan agama seperti sebelum ini.

“Mereka punya hak sebagai warganegara termaktub dalam Perlembagaan dan semua orang kena jaga dan pelihara kepentingan itu.

“Sebab inilah yang akan memastikan realiti hari ini terpelihara.

“Ada pun dari segi falsafah ini ia tetap wujud dan kalau ada pun tidak relevan pada negara kita

Saya sebut itu dalam usaha saya memahamkan orang ramai sesuatu pandangan itu diberikan mengikut realiti yang ada pada waktu itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette