BATU GAJAH: Golongan pendidik diminta membantu mewujudkan gelombang mengenai bahaya dadah supaya akhirnya timbul kesedaran di kalangan generasi muda bahawa dadah adalah makanan dari neraka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh golongan tersebut dalam usaha untuk mencapai fokus sekolah bebas dadah.

Bagaimanapun, menurutnya, banyak ruang lagi yang boleh dimainkan oleh golongan pendidik kerana mereka juga rapat dengan generasi muda, khususnya pelajar-pelajar mereka sendiri.

“Kalau di sekolah guru-guru bercakap mengenai bahaya dadah, di rumah ibu bapa juga bercakap dan ketua-ketua kampung juga bercakap, semua orang bercakap, akhirnya wujud gelombang kesedaran bahawa dadah adalah makanan dari neraka,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan di Dewan Sultan Yussuf di sini pada Khamis.

Samsudin-bebas-dadah 2

Terdahulu, di dalam ucapannya, Samsudin yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Perak berkata, kes pelajar sekolah di Perak terlibat dengan dadah amat membimbangkan kerana ia menunjukkan trend meningkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, berdasarkan ujian air kencing secara rambang di kalangan pelajar, bilangannya meningkat dari 4.2 peratus pada tahun 2015 kepada 4.94 peratus tahun lalu.

Beliau memberitahu, seramai 3,542 pelajar yang menjalani ujian air kencing, 148 daripadanya positif dadah manakala daripada 3,970 pelajar yang menjalani ujian air kencing pada 2016, 194 didapati positif dadah.

“Apa yang lebih membimbangkan, dalam suku pertama tahun ini, daripada 1,105 pelajar yang menjalani ujian air kencing, sudah ada 74 positif dadah dan ia amat-amat membimbangkan dan memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 255 warga pendidik di daerah Kinta Selatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 dalam bentuk sijil penghargaan dan sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM1,000 setiap seorang.

 

Samsudin-bebas-dadah 3