IPOH: Penantian S. Perumal selama 20 tahun untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila menerima sebuah Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) yang disediakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Perumal, 69, yang merupakan pesara kerajaan berkata, beliau berasa gembira memiliki kediaman sendiri kerana sebelum ini beliau tinggal di rumah anaknya di Kampung Tersusun Batu 8 di sini.

Bagi seorang kerani, Azrul Zaimi Mohd Ali, 33, beliau yang sebelum ini menyewa rumah dengan kadar yang agak mahal bersyukur setelah memiliki kediaman sendiri.

“Saya sudah lama tunggu untuk memiliki rumah yang selesa ini dan bayaran ansuran bulanannya murah iaitu RM270,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

21761828_1911688689081641_8365705093463046918_nTerdahulu, Azrul menerima replika kunci rumah yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah di Kampung Cik Zainal, Chemor kira-kira 20 kilometer dari sini.

Menurut Aminuddin, sebanyak 110 permohonan RMR1M telah diluluskan di Perak tahun ini.

Katanya, rumah yang dibina seluas 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air itu melibatkan kos berjumlah RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap penerima.

RMR1M diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

SPNB menetapkan empat kriteria utama untuk melayakkan seseorang memohon subsidi perumahan di bawah program RMR1M iaitu mempunyai pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000, memiliki tanah sendiri, sudah berkahwin dan tidak pernah memiliki rumah sendiri sebelum ini.

– BERNAMA