KOTA KINABALU: Gempa bumi berukuran 5.2 dengan kedalaman 5 kilometer dilaporkan berlaku di Ranau, malam ini.

Jabatan Meteorologi menerusi kenyataan berkata, gegaran berpusat di lokasi 6.1 Utara 116.6 Timur, kira-kira 16 kilometer barat laut Ranau pada jam 9.06 malam tadi.

Difahamkan, gegaran akibat gempa bukan sahaja dirasai di daerah berhampiran seperti Kota Belud dan Tuaran, malah sehingga ke Kota Kinabalu dan Papar, selain Lahad Datu di pantai timur.

gempa
Kejadian kali ini adalah gempa bumi paling kuat di Sabah selepas gempa bumi 5.9 pada skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 serta beberapa gempa susulan selepas itu.

Gegaran antara 5 hingga 10 saat itu turut menyebabkan penghuni di pangsapuri sekitar bandar raya ini bergegas keluar rumah dan berkumpul di pekarangan bangunan.

Setakat ini, Jabatan Meteorologi berkata, tiada ancaman tsunami akibat gempa bumi berkenaan – berita harian