Penduduk di beberapa daerah di Perak dikejutkan dengan gegaran selama tiga hingga lima saat akibat dipercayai daripada gempa bumi yang baru sahaja berlaku di Utara Sumatra, Indonesia sekitar jam 8.45 malam waktu tempatan.

Tinjauan Suara Perak mendapati antara kawasan yang merasai gegaran itu Sri Iskandar, Kuala Kangsar, Manjung dan beberapa kawasan di Ipoh.

Menurut Hassan Abdul Razak, 42, dari Ipoh beliau merasai gegaran itu selama lima saat sebelum ianya berhenti.

“Saya sedang duduk makan bersama keluarga sekitar jam 8.50 sehingga 9 malam tadi ketika gegaran berlaku.

“Tapi gegaran itu tidaklah kuat sangat sehingga boleh buat kami panik, dua anak saya tidak pula merasainya,” kata beliau ketika dihubungi.

Lim Tong Kit, 28, juga dari Ipoh memberitahu beliau turut merasai gegaran tersebut ketika sedang duduk bermain telefon di atas katilnya.

“Saya ingatkan saya pening jadi saya biarkan sahaja tapi bila saya tengok Facebook baru saya sedar memang ada rakan-rakan saya juga merasai gegaran itu.

“Gegaran itu saya rasa tidak lama sangat hanya dalam 2 hingga 4 saat sahaja,” ujar beliau.

Sementara itu di laman Facebook juga dibanjiri komen orang ramai sekitar Perak yang berkongsi merasai gegaran tersebut.

Jabatan Meterologi Malaysia memberitahu Gempa Bumi sederhana sekuat 5.5 skala ritcher telah berlaku di Utara Sumatra, Indonesia sekitar jam 8.42 malam tadi.