KOTA BELUD: Sekumpulan pekerja binaan gempar dengan penemuan sebutir bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan pemancar telekomunikasi, di sini semalam.

Bom itu yang dipercayai masih aktif ditemui kira-kira jam 12 tengah hari sebelum pekerja terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bom berkenaan ditemui ketika kerja-kerja mengorek tanah menggunakan jengkaut dilakukan di tapak pembinaan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksan lanjut mendapati bom berkenaan berukuran 50 sentimeter panjang, dengan ukur lilit 40 sentimeter.

“Sebaik mengesahkan penemuan itu, pihak polis segera mengarahkan pekerja pembinaan dan penduduk kampung berhampiran meninggalkan lokasi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Polis turut mengarahkan laluan ke lokasi berkenaan ditutup dan meletakkan garisan kuning sebagai amaran kawasan larangan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah turut dihantar ke lokasi kejadian bagi memusnahkan bom lama berkenaan.

Katanya, langkah keselamatan juga sudah diambil sebelum bom lama itu berjaya dilupuskan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan operasi tamat pada jam 12.40 tengah hari.

“Tiada kecederaan atau kemalangan berlaku sepanjang operasi dijalankan,” katanya – Berita harian