KOTA KINABALU: Sekumpulan pekerja pembinaan gempar dengan penemuan tengkorak dan tulang manusia di sebuah tapak pembinaan di bahagian belakang KK Sentral, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tengkorak dan tulang berkenaan ditemui pekerja terbabit ketika sedang melakukan kerja-kerja pengorekan tanah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil siasatan awal mendapati tengkorak dan tulang itu ditemui pada paras kedalaman 4.5 meter.

“Ujian Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di lokasi kejadian mendapati tengkorak dam tulang berkenaan sudah lama ditanam di lokasi penemuannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, spesimen itu sudah dihantar untuk ujian makmal di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk siasatan lanjut, termasuk mengenalpasti identitinya – Berita harian