KUALA KANGSAR: Sambutan Maulidur Rasul di Parlimen Kuala Kangsar membawa satu kelainan apabila beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berteraskan Melayu turut menjadikan sambutan itu bagi meraikan Hari Melayu Sedunia.

Program tersebut telah berlangsung dengan penuh adat dan istiadat kemelayuan yang disertai lebih 200 peserta lengkap berpakaian panglima serta hulubalang dahulu, termasuk baju  tradisional wanita.

Sambutan dimulakan dengan perarakan 60 hulubalang menaiki bot sejauh satu kilometer mengelilingi persisiran Kuala Kangsar sambil berzikir dan membawa Watikah Peristiharan Melayu 2016 sebagai simbolik kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu.

Pengerusi Program, Raja Shahriman Raja Aziddin memberitahu, program itu diadakan bagi mengekspresikan tanda syukur umat Melayu negara ini kepada Nabi Muhammad S.A.W sempena hari keputeraan Baginda.

“Kita juga nak ketengahkan semula budaya dan kesenian orang Melayu yang ketika ini semakin lama semakin tidak ditonjolkan kepada generasi sekarang.

“Sekiranya kita biarkan sahaja, satu hari ia mungkin akan hilang begitu sahaja jadi dengan program seperti ini diharap ia akan memberi kesedaran kepada kesemua melayu mengenai asal usul kita,” katanya ketika ditemui di Laman Budaya dekat sini pada Isnin.

Pelbagai aktiviti seperti pertunjukkan silat dan permainan tradisional diadakan, yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Yazid, ADUN Manong, Datuk Mohamad Kamil Safie dan ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.

Antara yang mengambil bahagian dalam perarakan tersebut adalah Persatuan Seni dan Warisan Melayu Jawi (Waris Alam) serta Majmak Budaya Warisan Jawi (Majmak).

Salah seorang peserta, Siti Nur Murni Saiful Anwar, 27, memberitahu program sebegitu mampu memberi pengalaman yang amat unik kepada generasi muda sepertinya.

“Bukan sahaja dari segi visual kita dapat mengenali pakaian atau percakapan Melayu terdahulu tetapi kita juga dapat belajar asal usul kita sendiri.

“Saya percaya, generasi sekarang ini seperti saya banyak yang langsung tidak tahu atau ingat apakah adat-adat yang pernah diamalkan oleh orang Melayu terdahulu, jadi ini lah peluang untuk kita belajar semula,” ujarnya.