SERI ISKANDAR – Generasi Y (Gen Y) perlu mempunyai sikap sentiasa bersedia untuk membuat kajian dan olahan terhadap apa sahaja maklumat diterima atau dalam bahasa Arab disebut sikap tabaiyun.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, dengan ledakan maklumat di abad ke – 21 sekarang, Gen Y tidak boleh menerima bulat-bulat maklumat yang diperolehi.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mestilah bersedia dan bijak untuk mengkaji dan menyelidik maklumat-matlumat berkenaan, lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan negara.

“Sebagai aset penting yang bakal menerajui kepimpinan negara, Gen Y mesti bijak menganalisis apa juga maklumat yang diterima mengenai negara dan tidak hanya menerimanya bulat-bulat,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Negeri Perak di Dewan IKBN dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Perak, Hasan Ashari Abu Bakar.

Seramai enam peserta akhir mengambil bahagian di dalam pertandingan itu yang dimenangi oleh Muhammad Haziq Jamaluddin (johan), Mahendaran a/l Duraisamy (kedua) dan Fyian Syafiq Sulaiman (ketiga).

Johan peringkat negeri akan mewakili Perak ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Sungai Petani, Kedah pada pertengahan tahun ini.

Drs Nizar berkata, pertandingan seumpama itu sangat baik kerana ia mampu melahirkan pemidato yang mampu berhujah dan menyampaikan maklumat dengan penuh keyakinan serta berkesan.

Menurut beliau, dengan kelebihan itu, mereka juga mampu berinteraksi dengan rakan sebaya, sekaligus boleh membantu mereka terjebak ke dalam ancaman semasa yang melalaikan seperti dadah dan gejala sosial.

“Generasi muda perlu merasai bahawa kerajaan sentiasa membantu dan menyayangi mereka dengan memberi ruang serta peluang di dalam pelbagai perkara kepada mereka,” ujarnya.