TELUK INTAN: Generasi muda hari ini mesti berani meneroka dan mencuba perkara baru yang positif sebagai persiapan untuk menghadapi masa hadapan yang lebih mencabar.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, jika mereka hanya melakukan perkara biasa-biasa sahaja, dikhuatiri mereka akan ketinggalan.

Menurut beliau, mereka juga mesti mempersiapkan diri dengan kepakaran-kepakaran tambahan seperti komunikasi, bahasa dan kebolehan menyelesaikan masalah.

“Jika dahulu, di dalam sektor pekerjaan misalnya, pertandingan hanya di kalangan rakyat Malaysia, tetapi dengan teknologi, sekarang ini orang Amerika Syarikat juga boleh mencari pekerjaan di sini,” katanya ketika menyampaian ceramah pada Program Eksplorasi Aliran Kerjaya (PEAK) di SMK Convent di sini pada Jumaat.

Lebih 400 pelajar Tingkatan 5 dari SKM Convent, SMK Holly Methodist dan SMK St Anthony mengambil bahagian di dalam program itu yang dianjurkan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Daerah.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PEKA, Ameron Zurqarnain Yeop Rashidi dan Pengetua SMK Convent, Aminah Idris.

Shahrul Zaman berkata, generasi muda mesti menggunakan kemudahan teknologi maklumat yang ada untuk mencari sebanyak maklumat yang berguna untuk menjadikan mereka kreatif dan mampu berfikir di luar kotak.

Beliau yakin, mereka berkemampuan untuk melakukan lebih baik daripada generasi terdahulu kerana lazimnya, kebanyakan manusia hanya melakukan 10 peratus daripada kemampuan sebenar mereka.

Sambil mengucapkan selamat berjaya menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Shahrul Zaman berharap, walau apapun keputusan yang diperolehi, mereka tidak berhenti setakat SPM sahaja kerana banyak peluang lain yang boleh mereka ceburi, khususnya dalam latihan teknikal dan vokasional (TVET).

PEAK adalah antara inisiatif PEKA untuk membantu, menggerak dan meningkatkan lagi pengetahuan serta kesedaran pelajar mengenai perancangan kerjaya agar dapat membuka minda mereka kepada bidang yang lebih luas, di samping merancang kerjaya berdasarkan bakat dan minat mereka secara lebih berkesan.