IPOH: Seramai 36 ahli kongsi gelap Geng 04 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, sekali lagi hari ini, bagi sebutan semula kes menganggotai kumpulan jenayah terancang, tiga tahun lalu.

Mereka tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi menaiki dua trak dengan kawalan ketat oleh 60 pegawai dan anggota dari All Black Jabatan Siasatan Jenayah Negeri dan Jabatan Penjara.

BERITA TERDHULUPolis guna CID All Black bawa 36 Geng 04 ke Mahkamah

Dalam prosiding lebih sejam itu, Hakim Murtazadi Amran menetapkan 24 April ini bagi sebutan semula kes terhadap kesemua tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias memohon tarikh sebutan baharu untuk melengkapkan dokumen serta izin pendakwaan.

Pada 20 Februari lalu, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 04 antara 1 Januari 2015 hingga 27 Januari lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.