TAIPING: Polis percaya dapat melumpuhkan kegiatan mencuri kenderaan mewah di beberapa negeri sejak tahun lepas dengan tertangkapnya dua lelaki yang dipercayai anggota Geng Ah Hui Gurun pada Ahad.

Kejayaan itu hasil ops lejang khas yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping pada 8 hingga 22 April lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata dalam operasi itu, polis berjaya merampas dua buah kereta mewah, wang tunai RM1,690 serta peralatan mencuri kereta.

Menurutnya, kesemua rampasan melibatkan kerugian kira-kira RM1 juta.

“Masyarakat sekarang amat gusar dan runsing mengenai kes-kes kecurian kenderaan, terutamanya masyarakat di Taiping ini.

Jadi ekoran daripada itu, kami pihak IPD Taiping, khususnya bahagian JSJ telah menubuhkan pasukan khas untuk memantau atau untuk menjejak kes ini yang dinamakan Ops lejang khas,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an ditahan sepasukan kira-kira jam 5.45 petang di depan sebuah hotel di Sik, Kedah.

Katanya, hasil siasatan mendapati, Kedua-dua suspek juga dikatakan terbabit dengan tujuh kes kecurian kereta mewah di Johor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Mereka dikatakan menggunakan alat elektronik dipanggil ‘jammer’ untuk menghidupkan enjin kenderaan mewah yang disasarkan.

Salah seorang suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau dan merupakan orang yang dikenakan pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta sedang menjalani hukuman buang daerah di Sik, manakala seorang lagi mempunyai empat rekod jenayah.