ALOR SETAR: Polis menumpaskan ‘Geng Mail’ yang aktif dalam pengedaran ganja selepas menahan ketua kumpulan itu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kelmarin.

Selain ketua yang berusia 65 tahun, polis turut menahan empat lagi suspek tempatan iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia lingkungan 30-an di dua lokasi berasingan di daerah ini, juga pada hari yang sama.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat, berkata sebanyak 116 ketulan mampat dadah yang dipercayai ganja bernilai RM302,000 turut dirampas pihaknya.

“Penahanan suspek dibantu oleh maklumat polis Thailand, selepas pihak berkuasa negara itu menahan ahli sindiket berkenaan di Thailand, sebulan yang lalu.

“Berdasarkan maklumat itu, kita melakukan tiga serbuan bermula jam 7 pagi hingga 1.40 petang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, pagi tadi.

Kamarulzaman berkata, serbuan pertama dilakukan di lampu isyarat Tanjung Musang, di sini, di mana seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier.

“Kita menjumpai 90 ketulan ganja yang disembunyikan di tempat simpanan khas pada bahagian belakang kenderaan itu dan berdasarkan rekod suspek lelaki mempunyai rekod jenayah membabitkan curi serta rogol.

“Serbuan kedua dilakukan di Jalan Langgar, di sini, di mana seorang lelaki dan seorang perempuan ditahan di dalam kereta jenis PERODUA MyVi,” katanya.

Beliau berkata, ketua Geng Mail ditahan dalam serbuan terakhir di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama 26 ketulan mampat dadah jenis ganja.

“Suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan dadah, selain ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis ganja.

“Siasatan awal mendapati ganja yang diperoleh dari negara jiran ini adalah untuk pasaran tempatan dengan sasaran di kawasan utara serta selatan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek kini direman selama seminggu sehingga 1 Mei ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya – Berita harian