TAIPING – Polis berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah sekitar Taiping apabila menahan lima ahli ‘Geng Michael’ dalam serbuan sekitar Taiping dan Kedah, April lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, geng yang didalangi oleh Koh Hin itu aktif melakukan jenayah di daerah itu akhirnya tumpas.

“Suspek berusia 37 hingga 58 tahun itu ditahan bersama beberapa peralatan memecah rumah antaranya kuku kambing, ragum, pemutar skru, elen key, besi pencangkuk.

“Selain itu, kita turut merampas komputer riba, kamera jenama canon, dan tiga telefon bimbit. Kita juga menemui dadah jenis syabu dan ganja seberat 5 gram serta peralatan menghisap syabu daripada salah seorang suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menemui Perodua Kelisa yang dilaporkan hilang di Kampung Baru dan Volkwagen Jetta yang juga dicuri di Taiping.

“Ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah. Ketua kumpulan ini juga turut mempunyai rekod lampau dalam pelbagai kes,” katanya.

Sementara itu, Harrith Kam berkata, seorang lelaki ditahan bersama kereta yang dipenuhi dengan pelbagai bateri bas dan lori dalam but sebuah Proton Wira, Jumaat lalu.

“Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan selepas memandu kenderaan dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan menemui lapan bateri kenderaan yang disimpan dalam but kereta itu.

“Ekoran tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes curi bateri bas dan lori sekitar kawasan taiping dan suspek direman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya.

-Sinar Online