IPOH: Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi di homestay dan pecah rumah di sekitar Ipoh dengan tertangkapnya empat lelaki dalam tiga serbuan di Taman Chempaka di sini, pada 24 dan 27 Jun lalu.

Dalam ops pintu itu, polis turut merampas 71 pelbagai barangan, kebanyakannya barangan letrik dan sebuah kereta yang kesemuanya bernilai kira-kira RM40,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, antara modes operandi suspek ialah menyewa homestay dan mencuri barangan di dalam homestay berkenaan.

“Selain dia pecah rumah, dia akan menyewa homestay. Apabila dia dapat masuk homestay ni, dia akan bawa lari barang-barang dalam homestay ni dan dia tinggal begitu saja.

“Ada juga kes dia menggunakan dokumen palsu, menggunakan lesen memandu orang lain yang dia perolehi,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Ampang Baru, di sini, pada Rabu.

Mohd Ali menasihatkan pemilik homestay supaya mendapatkan dokumen yang sah daripada penyewa dan jangan terburu-buru untuk menyewakan premis mereka.

Menurutnya, kesemua suspek yang berumur antara 26 dan 41 itu disahkan positif dadah jenis methaphetamine.

Sehingga Jun tahun ini, polis Ipoh menerima 19 laporan kes pecah rumah di samping beberapa kes curi dalam bangunan.