PETALING JAYA: Polis menumpaskan satu geng pecah rumah dan samun dengan penahanan empat lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di sebuah flat di Sungei Way di sini, hari ini.

Dalam serbuan pertama, tiga suspek ditahan di bawah sebuah blok di flat itu sebelum serbuan susulan di sebuah unit kediaman di situ yang membawa kepada penahanan suspek terakhir.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata menerusi tangkapan itu, polis menemui pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah dan samun didalangi geng terbabit.

Katanya, semakan ke atas semua suspek yang berusia lingkungan 20-an itu mendapati tiga daripadanya mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut akan dijalankan berhubung pembabitan kesemua suspek dengan kes jenayah jalanan yang berlaku di daerah ini, terutama kes pecah rumah.

“Ini kerana kita percaya dengan penahanan kesemua suspek ini dapat menyelesaikan banyak kes pecah rumah dan samun yang berlaku di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah – berita harian