SERDANG: Berpura-pura pengsan sebelum sembur penyembur lada ke arah mangsa, itulah modus operandi sekumpulan warga asing menyamun mangsa yang baru mengeluarkan wang di bank atau mesin ATM.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila salah seorang daripada mereka ditahan ketika sedang menyamun seorang lelaki berhampiran sebuah pasar raya di Bandar Kinrara di sini Ahad lalu, yang membawa kepada penahanan tujuh lagi rakan subahatnya dalam tempoh 24 jam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang mangsa lelaki berusia 40 tahun disamun oleh sekumpulan warga asing termasuk tiga wanita sebaik saja selesai mengeluarkan wang tunai di sebuah bank berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, sekumpulan penjenayah terbabit bertindak menyembur penyembur lada ke arah mangsa, namun beliau sempat mengelak tetapi suspek sempat menyeluk poket mangsa dan melarikan wang tunai RM7,000 serta telefon bimbit.

“Mangsa memaklumkan dia dihampiri enam individu warga asing termasuk dua wanita sebelum salah seorang daripada mereka berpura-pura pengsan lalu seorang lelaki tiba-tiba menyembur penyembur lada ke arahnya, namun mangsa berjaya mengelak.

“Tindakan mangsa mengejar penjenayah itu membuahkan hasil apabila salah seorang daripada mereka berjaya ditahan beberapa meter dari lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Hasil siasatan terhadap suspek berusia 40 tahun itu, kami berjaya menahan tujuh lagi rakan subahatnya yang juga warga Filipina dan seorang lelaki warga India berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun dalam serbuan di beberapa perhentian bas di sekitar Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam lelaki berkenaan ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

Megat berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, tujuh suspek yang lain cuba melarikan diri ke negara jiran, Thailand sebaik mengetahui rakan mereka ditahan polis.

“Bagaimanapun, mereka tidak sempat melarikan diri apabila berjaya ditahan dalam serbuan di beberapa perhentian bas di sekitar Kuala Lumpur beberapa jam selepas mendapat maklumat daripada suspek berkenaan.

“Penahanan kesemua lapan suspek ini dipercayai menyelesaikan lima kes samun di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang menggunakan modus operandi sama iaitu menyembur mangsa menggunakan penyembur lada,” katanya.

Katanya, semua suspek masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan – berita harian