MARANG: Dua remaja lelaki bawah umur termasuk seorang yang masih bersekolah antara lima ahli Geng Tiger yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di sekitar Bukit Payung, dekat sini.

Suspek berusia 14 tahun yang masih bersekolah dan seorang lagi remaja berusia 16 tahun serta tiga lagi termasuk ketua mereka dikenali sebagai Mie Tiger dicekup dalam serbuan berasingan di sekitar Bukit Payung pada 1 dan 2 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid, berkata siasatan awal mendapati suspek utama berusia 29 tahun dikatakan merekrut dua remaja terbabit untuk memecah masuk rumah yang dikenal pasti berikutan saiz badan mereka yang kecil.

Beliau berkata, dua remaja bawah umur terbabit akan memecah masuk, manakala dua lagi akan membuat pemantauan sebelum barangan yang dicuri itu dijual di sekitar kawasan Marang dan Kuala Terengganu.

“Kumpulan ini menyasarkan barangan berharga seperti barangan kemas, jam tangan dan telefon bimbit serta wang tunai dengan menjadikan rumah yang ditinggalkan pada hujung minggu sebagai sasaran.

“Susulan penahanan mereka, kita berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di sekitar Bukit Payung dan merampas pelbagai barangan seperti jam tangan, telefon bimbit dan beg tangan serta beberapa barangan pecah rumah.

“Selain itu, kita turut menemui satu plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah dalam serbuan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini, hari ini.

Fazlisyam berkata, pihaknya kini mengenal pasti pembeli barangan yang dicuri kumpulan berkenaan untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan ujian saringan awal kencing mendapati semua suspek berusia 14 hingga 37 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan suspek utama mempunyai 15 rekod jenayah termasuk kes pecah rumah dan dadah sejak 2003.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya – berita harian