GENTING Malaysia Berhad mengambil tindakan saman ke atas Walt Disney Co dan Twenty-First Century Fox Inc kerana didakwa melanggar kontrak melibatkan pembinaan taman tema Fox.

Saman berjumlah lebih AS$1 bilion (RM4.19 bilion) itu melibatkan kontrak bersama Fox Entertainment Group untuk memberi lesen intelektual Fox World yang dicadang untuk dibina di kompleks Resort World Genting.

Disney bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

Jurucakap Twentieth Century Fox Film, Dan Berger juga menolak untuk memberi sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.

Tuntutan itu difailkan di Mahkamah Daerah Los Angeles sewaktu Disney dalam rangka untuk melengkapkan pembelian aset Fox berjumlah AS$71.3 bilion (RM298 bilion) yang dijangka selesai pada suku pertama tahun depan.

Menurut Genting, masalah timbul apabila Fox membuat penangguhan sehingga menyebabkan kontrak tersebut terpaksa dirunding semula.

Tambah pihak itu lagi, Fox turut membuat tuntutan untuk menamatkan kontrak itu, seiring dengan Disney, untuk kepentingan mereka sendiri.

Genting sebelum ini sudah membuat pelaburan berjumlah lebih AS$750 juta (RM3.1 bilion) di dalam syarikat Fox World. – Reuters