IPOH: Geopark Lembah Kinta yang mempunyai keluasan 1,952 hektar diisytiharkan secara rasmi sebagai Geopark Kebangsaan.

Majlis pemasyuran itu telah disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam satu majlis penuh bersejarah di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Kar Hing di dalam ucapannya berkata, Geopark Lembah Kinta yang meliputi Daerah Kinta dan Kampar amat sesuai dimajukan sebagai pakej laluan geopelancongan atau geotrail bagi menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan yang berterusan terhadap khazanah warisan ini, geopark itu diletakkan di bawah pengurusan dan pemantauan Perbadanan Taman Negeri Perak.

Ia sekaligus menjadikan Geopark Lembah Kinta sebagai kawasan alam semulajadi ke empat diletakkan di bawah pentadiran perbadanan itu selepas Royal Belum, Pulau Sembilan dan Taman Alam Kinta.

“Keindahan Lembah Kinta dan lokasi-lokasi ini adalah anugerah kepada warga Perak untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan dan seterusnya menjana ekonomi rakyat jelata,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah mengenalpasti sektor pelancongan sebagai salah satu usaha merancakkan agenda merakyatkan ekonomi yang sekaligus memberi manfaat kepada semua semua rakyat.

Bagi menggerakkan agenda itu, beliau mengulangi komitmen kerajaan untuk menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri untuk menjadi pemacu utama agenda memperkasakan sektor pelancongan negeri.

Sementara itu, Dr Xavier di dalam ucapannya berkata, usaha untuk mendapatkan pengiktirafan status Geopark Kebangsaan bukanlah mudah kerana banyak kajian dan usaha yang perlu dilakukan seperti pengumpulan maklumat kepelbagaian geologi, flora, fauna, sejarah, arkeologi, tamadun dan budaya penduduk.

Menurutnya, pihak kementerian yang bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Geopark Kebangsaan sentiasa mengalu-alukan usaha pembangunan geopark di negara ini.

Beliau memberitahu, sebanyak RM10.7 juta peruntukan disediakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RKM-11) untuk projek penilaian potensi pembangunan geopark, pengekalan dan pemuliharaan sumber semula jadi negara.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM276,000 telah disalurkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak bagi tahun 2017 dan 2018, bagi pelaksanaan kajian dan penyelidikan yang lengkap dan terperinci dari aspek geologi,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, melalui program itu, ia boleh meningkatkan pelancong yang akan datang ke negeri Perak, khususnya dari luar negara.

“Mulai sekarang kita perlu mula bekerja untuk penjagaan dan selenggaraan geopark ini dan dalam masa sama, kita perlu juga membuat pameran bagi memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa ada satu tempat yang mereka boleh datang untuk melihat khazanah di sini,” katanya.

Menurut beliau, negeri-negeri yang ingin memohon menjadikan kawasan tertentu sebagai geopark baharu, boleh membuat permohonan melalui Jabatan Mineral dan Geosains untuk kajian lanjut.