Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR: Sebuah gerai makanan berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah hampir musnah keseluruhannya apabila terbakar dalam insiden pada malam Isnin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian sekitar 10.30 malam tersebut apabila peniaga dan pelanggan sempat menyelamatkan diri setelah menyedari bahagian dapur kedai itu terbakar.

Difahamkan, insiden berkenaan turut menyebabkan pemilik kedai cedera di bahagian kaki akibat terkena air panas ketika cuba menyelamatkan diri.

Sementara itu, seorang daripada saksi kejadian, Abd Rani Mohd Taib, 46, berkata, kebakaran berlaku apabila api menyambar paip getah penyambung tong gas lalu merebak ke seluruh kedai.

“Apa yang saya dengar, adalah salah seorang daripada tukang masak mahu mencabut kepala gas. Bila cabut, paip getah penyambung gas ikut tercabut dan api di dalam kuali terus menyambar paip itu.

4347474f-027a-44c8-90f8-cdc8a9b08fca
“Sekejap sahaja, api mula merebak. Peniaga dan pelanggan yang ada di situ cepat melarikan diri. Mujur semua selamat cuma tuan kedai cedera sedikit di kaki terkena air panas.

“Api marak dengan sangat cepat. Kami juga mendengar beberapa letupan sebelum letupan terakhir sangat kuat dan menyebabkan api terus menembusi bumbung,” katanya kepada Suara Perak.

Menurut Abd Rani, penduduk pada mulanya cuba membantu namun bimbang dengan keselamatan mereka apabila terdengar bunyi letupan.

“Ramai datang melihat kebakaran itu kerana lokasi kedai betul-betul hampir dengan Jambatan Sayong. Nak bantu pun tidak boleh kerana takut letupan lebih kuat pula,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Samsuddin Abd Karim mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi pada pagi Selasa.

Menurutnya, anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes itu kira-kira jam 10.30 malam pada Isnin.

“Anggota kemudian mengawal api bagi mengelak ia merebak ke beberapa rumah dan kedai berhampiran. Operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 11.00 malam,” katanya.