KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang memindahkan sementara semua 30 gerai bazar di Jalan Masjid India yang terjejas dengan kebakaran awal pagi tadi ke Lorong Tuanku Abdul Rahman 3 atau 5.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin, berkata cadangan itu dikemukakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan selepas mengadakan lawatan ke lokasi untuk bertemu peniaga yang terkesan dengan kejadian terbabit.

Bagaimanapun, katanya, perpindahan itu tertakluk kepada persetujuan semua peniaga terbabit.

“Penjaja diminta berbincang terlebih dulu dengan persatuan berhubung cadangan terbabit dan sekiranya tidak bersetuju, kita minta mereka menyatakan cadangan untuk DBKL membuat penilaian.

“Hanya penjaja bertaraf warganegara saja akan dipertimbangkan untuk pemindahan sementara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang awam yang melalui kawasan Bazar Masjid India mengambil kesempatan meninjau keadaan bazar tersebut yang terbabit dalam kebakaran awal pagi tadi. – Foto BERNAMA
Keadaan di sekitar kawasan Bazar Masjid India yang terbakar pada awal pagi tadi. – Foto BERNAMA

Katanya, mereka yang terbabit dalam kebakaran itu tidak boleh berniaga di tapak terjejas sehingga siasatan oleh pihak bomba selesai, selain membolehkan DBKL melakukan kerja pembaikan.

Terdahulu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Penguasa Bomba L Logeswaran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 1.35 pagi tadi.

Katanya, seramai 48 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Sentul dan BBP Pudu bersama empat jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah ‘water tanker’ bergegas ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.