Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT: UMNO Bahagian Sungai Siput yakin perancangan dan gerak kerja tersusun akan membantu dalam mencipta sejarah sekaligus merampas semula kerusi Parlimen Sungai Siput dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketuanya, Datuk Dzolkafly Harun berkata, rangka kerja sistematik yang digubal bersama rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas merupakan senjata di dalam merealisasikan fokus utama tersebut.

Katanya, pihak parti komponen yang tidak pernah teragak-agak untuk menyumbangkan tenaga dan masa juga memberi tumpuan kepada strategi meningkatkan jumlah anggota BN selama ini.

“UMNO Bahagian juga baru-baru ini merekodkan pertambahan bilangan ahli parti lebih daripada 2,000 orang, dan lebih separuh daripada jumlah berkenaan telah mendaftar sebagai pengundi baru.

“Malah, jumlah ini sebenarnya belum lagi ditambah dan dikumpulkan bersama pengundi MCA dan MIC bahagian. Kesemua faktor ini merupakan rangsangan positif untuk kita merampas kembali kedua-dua kerusi itu daripada pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput 2017, di sini, hari ini.

Terdahulu, persidangan itu telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid disaksikan oleh lebih 1,000 anggota UMNO Bahagian Sungai Siput.

Beliau berkata, antara teras utama yang menjadi tunjang kepada sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN oleh rakyat adalah muafakat dan semangat saling membantu bersama rakan parti komponen.

“Kerjasama perlu dalam kadar berterusan dan tak boleh pada waktu tertentu sahaja. Saya percaya hubungan antara parti komponen telah bertambah baik disini dan pada masa sama perlu ditingkatkan agar rakyat tertarik untuk memilih kita,” katanya.