GEORGETOWN: Bekas Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, antara lima saksi yang akan memberi keterangan dalam kes saman parti itu ke atas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Selain Tsu Koon yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, saksi lain termasuk Setiausaha Agung GERAKAN, Datuk Liang Teck Meng dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Baljit Singh yang mewakili GERAKAN ketika kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Baljit berkata mahkamah menetapkan 22 hingga 26 Oktober depan bagi perbicaraan kes berkenaan.

“Pihak plaintif akan memanggil lima saksi dan antaranya yang akan memberi keterangan ialah Tsu Koon, Teck Meng dan Chang Yeow serta dua saksi lain yang akan ditetapkan kemudian.

“Pihak defendan juga akan memanggil lima saksi dan setakat ini yang diketahui ialah Guan Eng dengan empat saksi lain akan ditetapkan selepas penyerahan dokumen,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Rosilah menetapkan 29 Ogos depan bagi pengurusan semula kes.

GERAKAN pada 25 Julai 2017, memfailkan saman terhadap Guan Eng di Mahkamah Tinggi kerana mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap parti itu berhubung penjualan tanah di Sri Tanjung Pinang 1 (STP1) di sini, dua tahun lalu.

GERAKAN selaku plaintif, memfailkan saman itu melalui Teck Meng.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Guan Eng dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap parti itu berhubung penjualan tanah STP I yang kemudian diterbitkan di beberapa media, laman web dan buletin DAP – berita harian