IPOH: Gerakan BERSIH yang mendakwa mereka sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil, kini sudah semakin tidak terkawal.

Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas berkata, adalah malang, apabila gerakan itu yang kononnya memperjuangkan perlembagaan undang-undang, bertindak di luar batasan undang-undang.

Menurutnya, kerajaan yang ada hari ini dipilih secara demokrasi melalui pilihanraya dan adalah wajar menyerahkan kepada proses pilihanraya untuk menentukan masa depannya.

Lebih malang, ujarnya, gerakan bersih seolah-olah sudah menjadi cawangan parti pembangkang, yang cuba memanipulasi rakyat untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Saya cabar BERSIH, adakah mereka boleh berdiri sendiri?…tidak ada…dia berkait dengan parti politik pembangkang, jadi, mereka sebenarnya cawangan kepada parti politik pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen MyPPP Negeri Perak 2016 di Dewan YRSK, Buntong di sini pada Ahad.

Perasmian konvensyen disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak. Hadir sama Pengerusi MyPPP Perak, Ong Chee Keng.
Kayveas berkata, sekiranya BERSIH sebagai salah sebuah cawangan parti politik pembangkang, mereka sepatutnya menunggu pilihanraya dan bertanding di dalamnya.

“Masa tu anda buatlah ceramah, masalah 1MDB ke, masalah PM ke, BN, UMNO atau MyPPP ke, boleh cakap, orang boleh faham, pengundi boleh faham, pengundi ada masa dan ada pilihan mana satu nak diundi,” ujar beliau.

Kayveas bagaimanapun menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

Sekiranya tidak, kata beliau, tidak mustahil MyPPP akan mencadangkan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diperkenalkan semula untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.

Presiden MyPPP itu turut melahirkan rasa hairan bagaimana bekas pemimpin negara cuba menyalahkan pentadbiran sekarang sedangkan ia diwarisi sejak daripada zaman mereka lagi.