IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin dakwaan kononnya wujud gerakan dikalangan beberapa exco kerajaan negeri yang ingin mengulingkan beliau hanya sekadar desas-desus politik.

Beliau berkata, ini kerana hubungannya bersama kesemua 10 exco kerajaan negeri boleh disifatkan sebagai satu keluarga besar yang bahagia dan tiada unsur-unsur percubaan sabotaj dikalangan mereka setakat ini.

“Saya amat berpuas hati dengan komitmen dan prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua exco saya, jadi biar kita tinggalkan perkara itu di situ sahaja, tak perlu memperbesarkan lagi perkara ini.

“Jika betul pun dakwaan itu, walaupun saya rasa tiada, cerita kononnya ada perjumpaan dan sebagainya makanya segala dibincangkan dalam perjumpaan itu tidak jadi, jadi buat apa komen,” katanya pada sidang media ketika Sidang DUN Perak, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, beliau tidak akan memandang serius perkara itu kerana selaku Menteri Besar terdapat lebih banyak perkara penting yang perlu diberikan fokus.

“Melalui pemerhatian setakat ini tidak nampak wujud usaha gulingkan saya, semua 10 exco kerja sebagai satu pasukan yang baik dengan fokus memberi yang terbaik kepada rakyat.

“Dakwaan kononnya kami sudah lama tak adakan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) adalah tidak benar, kerana paling lama kami tidak adakan pun hanya dua minggu itu pun kerana cuti raya.

“Walaupun jika wujud dalam hati mereka tidak setuju dengan saya dan sebagainya namun ia tidak ditonjolkan atau mengacau kerja-kerja pentadbiran, jadi saya tak kisah..ianya perlu ditolak ke tepi kerana ada banyak lagi benda lebih penting dalam agenda kita,” jelas beliau.

Ahad lalu, Ketua Pembangkang Perak Datuk Saarani Mohamad mendakwa wujud gerakan dikalangan beberapa ahli exco kerajaan negeri yang ingin menjatuhkan Ahmad Faizal melalui usul undi tidak percaya.

Dakwa beliau lagi, beberapa ahli exco berkenaan juga telah cuba mendekati lima Adun Barisan Nasional (BN) baru-baru ini dan menawarkan pelbagai habuan untuk mendapatkan sokongan mereka untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya proses undi tidak percaya itu berjaya dilaksanakan.