PETALING JAYA : Gerakan mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi parlimen Tanjung Piai bulan depan, sekali gus bakal memperlihatkan persaingan minimum tiga penjuru.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai hari ini.

“Jawatankuasa pusat Gerakan juga telah memutuskan supaya timbalan presiden parti Oh Tong Keong dilantik sebagai Pengarah Jentera Gerakan PRK itu manakala Teo Kok Chee akan mengetuai bilik gerakan parti itu,” kata beliau dalam kenyataan parti hari ini.

Setakat ini, selain Pakatan Harapan yang akan menurunkan calon bagi mempertahankan kerusi itu, Barisan Nasional (BN) juga akan meletakkan calon. Kedua-duanya dijangka mengumumkan calon mereka akhir bulan ini.

Gerakan sehingga pilihan raya umum 2018 merupakan komponen BN. Bagaimanapun parti itu telah keluar BN sejurus selepas pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai akan diadakan 16 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan 2 Nov.

Pada 9 Mei 2018, Tanjung Piai menyaksikan persaingan tiga penjuru antara PH, BN dan PAS. Umno dan PAS telah memutuskan untuk menjalin kerjasama politik, sekali gus mengelak pertindihan persaingan dalam pilihan raya.