IPOH: Jika sebelum ini geran di bawah Program Peningkatan Keupayaan Enterpris Bumiputera (BEEP) negeri Perak hanya RM2 juta, tetapi tahun ini meningkat kepada RM3.6 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, sebanyak 46 usahawan bumiputera di negeri ini telah mendapat manfaat itu.

Menurut beliau, sejak diperkenalkan di negeri Perak pada tahun 2012, BEEP telah memberi manfaat kepada 110 usahawan dengan nilai geran diluluskan berjumlah RM11.13 juta.

“Biasanya setiap tahun kita mendapat RM2 juta geran program ini tetapi di atas permintaan kerajaan negeri, ia ditambah RM1.5 juta dan ditambah lagi RM100,000 tahun ini,” katanya kepada Suara Perak selepas menyerahkan surat tawaran BEEP kepada empat usahawan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Hafsah Hashim, Penasihat kepada Menteri Besar, Datuk Mohamad Sani Sufi dan Pengarah SME Corp Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.

BEEP adalah geran bersama untuk membantu usahawan PKS meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka melalui bantuan geran 50-50 bagi pembelian mesin, promosi, pengubahsuain premis, peningkatan pembungkusan dan lain-lain.

Samsudin berharap, geran ini dapat ditingkatkan kepada RM4 juta tahun hadapan, sesuai dengan peruntukan RM1.5 bilion untuk SME Corp Malaysia, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 baru-baru ini.

Menurutnya, program BEEP turut membantu kerajaan negeri di dalam mencapai objektif yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Strategik Pembangunan, Pemerkasaan dan Pemantapan Sektor Usahawan, Koperasi dan Peniaga Kecil Negeri Perak 2016 – 2020.

Beliau memberi contoh kejayaan beberapa usahawan yang menerima manfaat daripada program tersebut.

Antaranya pengeluar kueh peneram NAB Enterprise yang mencatatkan jualan RM400,000 sehingga Oktober tahun ini, berbanding RM117,984 pada tahun 2016.

Selain itu, pengusaha bundle, FF Mercu Niaga Sdn Bhd yang juga mencatat peningkatan jualan kepada RM400,000 tahun ini, berbanding RM117,000 tahun lalu.

Dalam masa sama, Samsudin memberitahu, setakat ini kira-kira 63 peratus daripada geran itu telah dituntut dan dijangka meningkat kepada 75 peratus menjelang hujung tahun.

Sementara itu, Hafsah memberitahu, mulai tahun ini, penerima geran diberi tempoh hanya 12 bulan untuk menuntut geran yang diluluskan, berbanding 24 bulan tahun ini.

Beliau menjelaskan langkah memendekkan tempoh itu dibuat supaya penerima segera menuntut, sekaligus lebih ramai yang akan berbuat demikian.