IPOH: Pemberian geran kepada persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), yang ditangguhkan selepas pertukaran kerajaan Mei lalu akan diteruskan semula.

Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim berkata, pembayaran kepada permohonan persatuan penduduk yang telah diluluskan sebelum ini akan dilaksanakan dalam tahun ini juga.

Di samping itu, kata beliau, permohonan baharu untuk tahun ini masih dibuka dan akan ditutup hujung bulan ini.

“Untuk geran persatuan penduduk, memang telah kita dapat maklumat daripada kerajaan untuk diteruskan bagi yang telah diluluskan, jadi nanti kita akan lihat dari tahun ke tahun bagaimana kita akan meneliti lagi permohonan-permohonan yang akan datang.

“Buat masa ni, yang telah diluluskan, kita akan membuat pembayaran kerana sudah dibuat komitmen dalam tahun ni,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Perak di sini, hari ini.

Mengikut belanjawan 2013, Perdana Menteri telah mengumumkan sebanyak 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan ROS akan diberikan geran berjumlah RM10,000 bagi menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan yang dilakukan persatuan terbabit.

Antara tujuan pemberian geran ini adalah membantu mengurangkan jenayah dan mewujudkan bandar selamat.

Bagaimanapun, pemberian geran itu ditangguhkan selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Penanguhan itu menimbulkan masalah kepada persatuan penduduk, khususnya di kalangan pemegang jawatan persatuan yang telah diluluskan permohonan sehingga ada yang dituduh menyalahgunakan wang tersebut.